Selasa 22 Ogos 2017

Nama Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) adalah dinisbahkan kepada seorang tokoh pejuang yang amat berjasa di Malaysia. Almarhum Professor Dato' Dr Zulkifli Muhammad.

Beliau bukan sahaja tokoh politik yang pernah menjawat amanah sebagai Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia dan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan; tetapi beliau juga adalah seorang tokoh pendidikan dan sastera.

Beliau pernah bersama-sama mengasaskan institusi pengajian tinggi Islam pertama di Tanah Melayu iaitu Kolej Islam Malaysia di atas kapasitinya sebagai Setiausaha Majlis Kolej Islam Malaya dan pensyarah di institusi tersebut. Selain itu beliau pernah diamanahkan sebagai Ahli Majlis Universiti Malaya.

Seorang pencatat sejarah PAS, Ibnu Hasyim menukilkan tentang beliau seperti di bawah. Semoga watak ini menjadi contoh para mahasiswa/i KUIZM dalam mencorak masa depan ummah di Malaysia khususnya.

 

pic 152

PADA 6 Mei 1964 dalam perjalanan pulang dari Bacok Kelantan ke rumah ayahnya ke Kuala Kangsar, Ustaz Zulkifle Muhammad berada di dalam kereta jenis Fiat bernombor JB 9977. Kira-kira pukul 7 malam, sesampainya di suatu jalan sempit, batu 4 ½ , Jalan Kuantan Pahang, keretanya telah berlanggar dengan sebuah land rover yang datang bertentangan dari hadapan.

Isterinya meninggal di ribanya waktu itu juga, sedangkan beliau sendiri meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital. Dalam perjalanan yang panjang dari Bacok itu, beliau dikatakan terus berbincang mengenai penubuhan Yayasan Tinggi Islam Nilam Puri Kelantan, dalam usaha menubuhkan Universiti Islam, bagi merealisasikan system pendidikan Islam di negara ini.

Menurut Allahyarhan Tan Sri Dr Muhammad Asri Haji Muda:

“Professor Ustaz Zuikiflli Muhammad dalam masa hayatnya, telah meyakinkan bahawa Islam di Tanah Melayu tidak akan boleh dibangun dan tidak akan mencapai keagungannya melainkan dengan dua jalan. Yang pertama melalui pendidikan dan pelajaran, dan yang kedua melalui kuasa politik yang wajib dimiliki oleh umat Islam. Beliau menekankan, jangan sesiapa mengharapkan Islam akan terbela di tanah air kita ini, kalau kuasa pemerintahan negara tidak umat 100% Islam yang memegangnya.”

Pada awal tahun 50an melalui akhbar dan ceramah beliau menyuarakan penubuhan sebuah kolej Islam sebagai asas kearah university Islam. Tahun 1954, usaha-usaha dijalankan di Johor Bharu, Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor telah menganugerahkan istananya di Kelang untuk dijadikan bangunan awal Kolej Islam Malaya. Tahun 1955 beliau dilantik menjadi Setiausaha Kolej tersebut. Dua tahun kemudian dilantik menjadi pensyarah Pengajian Melayu, Perundangan dan Tata Negara Islam, juga Kesusasteraan Arab.

Pada 15 Julai 1957, beliau dianugerahkan Professor Kehormat dari Universiti Sawerigading Indonesia. Walaupun menjadi pembangkang, beliau pernah dilantik menjadi Ahli Majlis Universiti Malaya 1960-1961 dan Ahli Jemaah Pengurus Sekolah Menengah Sultanah Zainab Kota Bharu Kelantan. Datuk Haji Muhammad Asri yang baru bergelar Tan Sri juga mengatakan sewaktu memberi kata pengantar buku tulisan Zulkifli Muhammad berjudul ‘Analisis Tentang Beberapa Masalah Hidup Manusia’ terbitan di Pulau Pinang 1968, beliau menulis:

“Saya mengenali beliau sebagai pujangga dengan membaca syair-syair dan sajak-sajaknya. Saya kenal dia sebagai ahli fikir dengan menatap karangan-karangannya di majalah-majalah dan risalah-risalah yang ditulisnya. Saya kenal dia sebagai juru pendidik dengan perkhidmatannya di Kolej Islam sebagai Setiausaha dan Pensyarah. Saya kenal dia sebagai ahli ilmu dengan ceramah-ceramah ilmiah yang diberikan di kolej-kolej dan universiti, ditambah dengan karya-karyanya yang membahas pelbagai bidang ilmu pengtahuan.”

Ustaz Zul pernah ikutserta dalam Gabungan Dewan Perniagaan Melayu Malaya, antara kegiatan yang dicadangkan termasuklah Program Rancangan Lima Tahun dan Pembentukan Bank Melayu. Pada 1 Mei 1955, beliau membentangkan satu kertas kerja bertajuk ‘Preadvice Tentang Perusahaan Pengangkutan Melayu’ dalam satu Persidangan Perusahaan Pengangkutan Melayu Se Malaya anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaya di Ipoh.

Dalam kertas kerja itu beliau mengemukakan bahawa kelemahan orang Melayu di bidang tersebut disebabkan oleh kelemahan modal, latihan teknik, perhubungan perniagaan dan pengalaman, serta saranan-saranan untuk memperbaikinya supaya membolehkan berlakunya pertumbuhan ekonomi yang pesat di kalangan orang-orang Melayu. Di bidang sosial pula, beliau melihat peranan filem Melayu dalam mempengaruhi masyarakat.

Menurut tulisannya:

“Sebagai satu benda filem adalah bermata dua. Ia boleh digunakan bagi kebajikan dan bagi kejahatan. Kita tiada boleh dan jangan sekali-kali menghukum bahawa filem itu hanya berkesan buruk pada masyarakat. Buruk baiknya adalah pada kita anggota masyarakat sendiri. Cara filem yang kita kehendak dan lakunan yang kita hargai adalah menentukan kesan filem kepada kita.”

Bagi Ustaz Zul, filem-filem Melayu mestilah mempunyai identitinya tersendiri. Tidak wajar bagi filem Melayu dan pelakonnya meniru apa yang terdapat di barat sebagai satu nilai. Beliau berkeyakinan bahawa filem Melayu boleh mencapai mutu seperti filem-filem asing serta dapat memberikan pengajaran berdasarkan nilai-nilai tempatan, jika bimbingan yang sewajarnya diberikan kepada pengusaha-pengusaha filem tersebut. Beliau juga menyokong tindakan Lembaga Penapis Filem terhadap filem ‘Kipas Hikmat’ yang diselitkan dengan unsur-unsur yang tidak sihat.

Katanya dalam akhbar ‘New Straits Times’ pada 9 Mac 1955:

“Malay film actresses should not copy what actresses in auther parts of the world do. We have a different way of live and culture.”

Menurut Tan Sri Muhammad Asri lagi:

“Saya kenal dia sebagai ahli pidato dengan syarahannya yang memikat dan suaranya yang mengguntur di hadapan khalayak ramai dengan stailnya yang tersendiri. Saya kenal dia sebagai Ahli Parlimen yang cekap dan peranannya yang aktif sebagai anggota parti pembangkang yang terkemuka, mewakili partinya (PAS) dalam Dewan Rakyat Malaysia, yang mengikut kata orang belum ada Ahli Parlimen Malaysia yang boleh menandinginya sampai sekarang. Di atas dari semua itu, saya kenal dia sebagai seorang pemimpin yang berkelibar besar disegani oleh lawan dan kawan.”

Menurut ‘Berita Harian’ 8 Mei 1964, Tunku Abdul Rahman mengulas tentang kematiannya mengatakan:

“Beliau telah memberikan sumbangan-sumbangan yang sangat berguna dalam perbahasan-perbahasan di Parlimen, kerana itu kehilangannya akan turut dirasakan di Parlimen.”

Beliaulah orang yang pertama menempa sejarah berucap empat jam berturut-turut di Parlimen. Dari laporan-laporan Parlimen di dapati beliau mengemukakan hujjah-hujjah bernas dan berkualiti tinggi. Membangkitkan hak orang-orang Melayu dan gemar berucap mengenai ekonomi dan kewangan negara, sehingga beliau dilantik menduduki Public Accounts Committee. Umpamanya dalam November 1959, beliau membangkitkan soal-soal kerakyatan, cukai, minuman keras, pertanian seperti koperasi dan bidang teknik, hak Melayu dan nperkembangan bahasa Melayu, pengiktirafan sijil Kolej Islam Malaya, Pusat Latihan Guru dan menghentikan penghantaran guru ke Brinsford dan Kirby di United Kingdom.

Disember 1959, beliau membangkitkan soal kerakyatan, perang saraf, pelajaran dewasa, rumah murah, penuntut Melayu di Mesir, Bahasa Melayu, cukai import, perlunya institute penyelidikan industry dan lain-lain. April 1960, mengenai bahasa Melayu sebagai pengantar, ekonomi orang Melayu termasuk RIDA. Ogos hingga Disember 1960 mengenai pendatang haram, orang Melayu luar negeri, Laporan Razak mengenai pelajaran, pengiktirafan ke atas negara Israel, perlunya Malay Economic Secretariat, ali baba, RIDA, cukai, anti corruption agency, architecture kebangsaan dan perlunya rumah-rumah murah kakitangan kerajaan berpendapatan rendah.

Dalam tahun 1961, beliau mengemukakan pendapat mengenai Rancangan Pembangunan Lima Tahun mengenai pelajaran dewasa, penggunaan Bahasa Melayu RIDA, FELDA, Dewan Bahasa dan Pustaka, menentang penubuhan Malaysia, dasar pelajaran dan rasuah. Tahun 1962, mengemukakan perlunya Staff Training Centre, Public Record, Crown Agent, RIDA, kemunduran pelajar Melayu, pengjian Islam, Kolej Islam, penubuhan Tabung Haji, perturan sekolah-sekolah, Kolej Pertanian, Bahasa Kebangsaan, perlunya Secretariat Melayu Kuala Lumpur, bahasa Melayu di mahkamah dan keselamatan jalan raya.

Pada 19 Ogos 1963, beliau berucap menentang penubuhan Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Sehingga Januari 1964 penggal terakhir parlimen bersidang sebelum pilihan raya umum 1964, dari perkara sebesar-besarnya hingga sekeci-kecilnya, yang tidak dapat diselesaikan dibawa ke Parlimen seperti Bahasa Kebangsaan, Syarikat Kerjasama, dasar luar negara Association of Southeast Asia (ASA), kesihatan, sehingga kepada pengaduan bekas seorang mata-mata memohon jawatan pemandu Mohd Yusof Mohd Zain, dan bekas mata-mata dari Seberang Pumpong Alor Setar yang mengadi diberhentikan kerja.

Akhbar Utusan Melayu pada 10 MEI 1964 mengatakan:

“Juga bagi PAS kehilangan Ustaz Zul itu merupakan kehilangan suatu alam fikiran. Alam fikiran Ustaz Zulkifli Muhammad merupakan keperibadian PAS di samping Dr Burhanuddin.”

Ustaz Zul berfikiran terbuka dan berpandangan jauh ke depan. Semasa menuntut di Mesir beliau menubuhkan dan menjadi Presiden ‘Egyption Relief Fun Committee’, sebuah badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dan bukan Islam. Beliau mampu melaksanakan suatu bentuk kerjasama antara kaum dan agama untuk keadilan seperti mengutuk pencerobohan Israel dan lain-lain. Ustaz Zul berpendapat, bahawa Islam tidak dapat ditegakkan dalam negara ini tanpa sokongan orang-orang bukan Islam, malahan mereka mempunyai hak masing-masingdi dalam sesebuah negara Islam.

Beliau juga berpendapat bahawa, jika lambat laun PAS menguasai Kuala Lumpur atau Kerajaan Persekutuan, itu bermakna pemerintahan PAS di Kelantan akan terus menerus lemah. Kerana itu beliau mencadangkan supaya PAS membuka pintu keahlian kepada warga negara Malaysia yang bukan Islam sebagai Ahli Bersekutu. Menurutnya ‘satu perkara yang perlu dilakukan segera’. Tetapi ditolak oleh Jawatankuasa Agung PAS yang menurut Saudara Amaluddin Darus ‘semata-mata kerana takut kalah pilihan raya’

Dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 12 tahun 1964, Dr Burhanuddin Al-Helmi, Yang Di Pertua Agung PAS ke 3 mengatakan:

“Berpulangnya Timbalan Yang Di Pertua kita yang dikasihi, Professor Zulkifli Muhammad bersama isterinya Ustazah Asiah Kamaruddin selaku Naib Ketua Dewan Muslimat ke rahmatullah, adalah suatu peristiwa yang cukup mengharukan hati dan perasaan kita. Hingga saat ini suasana muram dan sedih masih menyelubungin kita semua. Beliau telah pergi dengan meninggalkan kita amanat-amanat perjuangan yang tidak dapat kita lupakan. Yang tetap menjadi kenangan yang tidak kunjung padam.

Beliau telah pergi sesudah beliau menunaikan tugas beliau sebagai pemimpin yang berani, jujur dan bijaksana. Tidak hairanlah kalau kepergiannya dianggap suatu kehilangan besar kepada kawan dan lawan. Tidak hairanlah, kalau Perdana Menteri Malaysia sendiri telah mensifatkan beliau sebagai Pahlawan Demokrasi. Parlimen Malaysia telah mensifatkan beliau sebagai ‘tokoh parlimen yang payah ditandingi’. Malah Sultan Kelantan telah mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Muhammadi Yang Ke II, sebagai mengiktiraf atas jasa-jasa dan kebaktian yang telah beliau berikan selama hayatnya.

Memang wajar orang besar tanahair ini berhak menerima penghargaan yang sedemikian rupa, kerana kebesarannya adalah kebesaran perjuangannya. Bagi parti kita PAS, kepergian beliau mempunyai makna yang tersendiri kerana anggapan kita terhadap kebesaan Al-marhum ustaz Zulkifli Muhammad adalah dari segi kepimpinannya selama memegang jawatan Timbalan Yang Di Pertua. Sikap keberanian dan kecekapan, ketabahan dan kejujuran, disertai oleh semangat sedia berkorban adalah antara sifar-sifat utama yang memikat hati kita semua terhadap beliau dalam perjuangan PAS selama ini.

Kini beliau telah pergi dan kita yang tinggal akan menyambung terus perjuangan ini. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga dihimpunkan oleh Allah roh beliau suam isteri ke dalam himpunan para syuhadak dan mujahidin. Sambil itu, marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan Ummul Quran Al-Fatihah..”

Demikian ucapa dasar Dr Burhanuddin selaku Yang Di Pertua Agung PAS . Kalaulah perjuangan kebangkitan PAS ini boleh diibaratkan sebagai seekor burung, di mana regu Burhanuddin-Zulkifli ini sebagai sayapnya, bolehkah dikatakan sebelah sayapnya sudah patah terkulai menyebabkan penerbangan perjuangan tersebut mula menjunam??

TV KUIZM

 

E-Mail

log kuizmorg

Log Masuk

Facebook

Logo

log kuizm

Kalam Murabbi

pos kalammurabbi 01

Bayanul Ahkam

pos bayanulahkam 03

Coretan Duat

pos coretanduat 02